Apr 05, 2022 - FASHari ini Selangor FC akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk perlawanan kedua saingan Liga Super 2022 menentang Negeri Sembilan FC pada jam 10 malam.
Bagi yang tidak tahu, Malaysian Football League (MFL) telah menetapkan perlawanan berlangsung pada jam 10 malam sepanjang bulan Ramadan ini.
Menurut Michael Feichtenbeiner, Ketua Jurulatih Selangor FC, pasukan akan fokus untuk mendapatkan kemenangan, "Untuk perlawanan malam ini, sasaran kita adalah untuk mendapatkan tiga mata! Tidak dinafikan Negeri sedang mempunyai momentum dan keyakinan yang tinggi selepas mendapat kemenangan awal bulan Mac yang lalu," katanya.
"Perlawanan akan menjadi sengit malam ini namun saya yakin kita akan berpeluang untuk meraih kemenangan jika kita beri tumpuan kepada perancangan yang telah ditetapkan. Apa sahaja perancangan K. Devan, kita telah membuat persiapan untuk menentang mereka malam ini."
Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan Liga Super hari ini, pasukan Selangor FC masih terpaksa melupakan khidmat R. Dinesh yang masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL).
Selain itu, Danial Asri, Aliff Haiqal Lau, Azrin Afiq dan Harith Haiqal tidak dapat bersama pasukan kerana sedang mendapatkan kecergasan penuh untuk beraksi daripada kecederaan yang mereka alami baru-baru ini. Mereka akan kembali beraksi dalam masa terdekat.
Namun begitu, penyokong Selangor FC boleh bersorak gembira dengan kepulangan Halim Saari dan Zikri Khalili bersama pasukan.
Semoga tiga mata penuh berjaya dibawa pulang pasukan Selangor FC dalam perlawanan malam ini. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!